Friday 7 January 2011

Hai anak,

Fokuslah dalam segenap apa yang kau buat, tetapi yang lebih utamanya adalah dalam menekuni pelajaranmu, kerana pelajaran itu penting buat dirimu dalam mengharungi hidupmu di hari ini dan di kemudian nanti. Hindarilah fokusmu dari terlari ke arah lain. Elakkan perkara-perkara yang kau tahu boleh mengalih tumpuanmu terhadap pelajaranmu.

Ingatlah anakku, banyaknya perkara-perkara yang mahu meraih fokusmu dari perkara-perkara yang bermunafaat kepada perkara-perkara yang tidak bermunafaat. Fikiranmu pun ingin lari dari perkara-perkara yang seperti membebankan kepada perkara-perkara yang seperti meringankan. Kawan-kawan pun ramai yang mengajak kepada keseronokan dengan meninggalkan perkara-perkara yang sepertinya tidak seronok yang sepatutnya menjadi tanggungjawabmu.

Keseronokan duniawi hanyalah perkara yang bersifat sementara anakku. Engkau pun tahu keseronokan itu akan habis apabila telah selesai engkau berseronok dengannya. Selepas itu engkau akan mencari keseronokan yang baru. Jika engkau tidak berhenti anakku, jadilah engkau pengejar kepada keseronokan selepas keseronokan dan masa engkau akan habis kerananya.

Tidakkah sia-sia umurmu jika begitu anakku? Umur yang Penciptamu kurniakan untuk engkau perjuangkannya ke pengakhiran hidupmu. Cuba kau renungkan, akhirnya apa yang engkau dapat? Adakah hidupmu sudah kau lalui dengan begitu bermakna atau sebaliknya.

Ibu tidak mahu kau menyesal di kemudian hari anakku. Ibu tidak mahu kau menyesal setelah segala-galanya menjadi terlambat.

Oleh itu anakku, ayohlah! Bangunlah! Dan berubahlah!

Itulah harapan ayahmu. Dan ibumu. Dan dirimu sendiri jika betul-betul engkau sedari.


Wednesday 5 January 2011

Wahai Anakku

Ibu tahu kau seorang anak yang baik dan pandai. Ibu bahagia kamu sedemikian. Tapi anak, ibu risau jika kau terlalu banyak bermain-main. Bermain-main berlawanan sungguh dengan bersungguh-sungguh anakku. Sedangkan bersungguh-sungguhlah yang akan menjamin kejayaaanmu di dunia dan di akhirat. Oleh itu anakku ibu minta sangat-sangat, kurangkanlah bermain-main itu sebaliknya tumpukanlah usahamu ke arah perkara-perkara yang bakal membawamu ke tangga kejayaan.

Kejayaan itu anakku, amat penting buatmu baik untuk kehidupanmu di dunia ini mahupun kehidupanmu di akhirat sana. Kejayaan membawamu kepada kebahagiaan, berlawanan sekali dengan kegagalan. Kegagalan jika engkau menempuhnya amat perit sekali anakku. Ibu tidak mahu engkau gagal. Sekali-kali ibu tidak mahu. Engkau pun sudah tentu tidak mahu.

Oleh itu, berusahalah anakku. Bersungguh-sungguhlah dalam segenap perkara yang engkau lakukan. Agar manfaat datang kepadamu. Dan rahmat dan berkat Allah sentiasa melingkungimu.

Ibu senantiasa mendoakan kejayaanmu.